Thursday, November 23, 2006

Anak permata negara

Oleh AZLINARIAH ABDULLAH (WARTAWAN UTUSAN)

HARI itu, hampir setahun yang lalu, dirinya amat terganggu dengan laporan berita mengenai kecurian, rompakan, penderaan seksual, pembunuhan dan beberapa jenayah lain.

Fikirannya tidak berhenti daripada berputar mencari-cari jika ada jalan penyelesaian kepada masalah-masalah itu.

Pada pandangan bekas pelajar jurusan sosiologi ini, semestinya masalah berkenaan berakar daripada didikan semasa usia kanak-kanak.

Kerana begitu ‘terganggu’, beliau tidak boleh berhenti memikirkan bahawa ada sesuatu yang tidak kena. Barangkali ada sesuatu yang hilang semasa dalam proses membesar.

‘‘Sesuatu perlu dilakukan dan saya kuat merasakan mahu membantu. Tetapi saya menyedari tidak boleh melakukannya sendirian walaupun ada tekad untuk menyelesaikan masalah tersebut.’’

Itulah yang membawa kepada tercetus idea pusat jagaan dan pendidikan awal kanak-kanak Permata seperti yang diceritakan oleh isteri Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor dalam satu interviu dengan Utusan Malaysia baru-baru ini.

Sebagai Pengerusi Pelaksana Permata, apabila idea itu datang, beliau tidak teragak-agak untuk melaksanakannya, satu kerana matlamatnya ialah mahu melahirkan modal insan terbaik kepada negara dan satu lagi kerana tidak mahu lagi ‘terganggu’ dengan laporan-laporan jenayah disiarkan hampir saban hari.

Profesional dalam pelbagai bidang, kepakaran dan latar belakang dicari untuk sama-sama mengumpul, mencari idea selain membantu merealisasikan hasrat murni berkenaan.

Kumpulan profesional 25 wanita, menurut Rosmah, bukan calang-calang orang dan mereka juga senada bahawa pembentukan insan akan menjadi lebih berkesan sekiranya dimulakan lebih awal lagi.

Dan Permata sendiri adalah konsep pendidikan untuk kanak-kanak berusia sehingga enam tahun.

Menurut Rosmah, Permata melihat kumpulan umur 0 - enam tahun sebagai satu kumpulan yang amat penting dan mereka mesti melalui satu proses perkembangan yang teratur.

‘‘Sebagai modal insan yang sangat bermakna kepada masa depan negara, perlu ada satu program atau perancangan yang teratur, fokus dan bersepadu daripada mereka mula lahir hingga memasuki alam persekolahan.

‘‘Mudah kata, ia perlu dirancang sebagai satu strategi nasional dan banyak negara lain di dunia ini sudah menjadikan pendidikan awal kanak- kanak sebagai satu pelan nasional yang bersepadu,” ujar Rosmah.

Menceritakan lebih lanjut, beliau berkali-kali menerangkan bahawa Permata bukan pesaing kepada taman asuhan (taska) atau taman didikan kanak-kanak (tadika) yang sedia wujud.

‘‘Pendekatan Permata adalah berlainan daripada yang diamalkan oleh taska atau tadika.

“Konsep kita ialah mementingkan pembelajaran yang menyeronokkan dan kita akan ajar mereka mengikut kecenderungan kanak-kanak terbabit,” katanya yang mengakui ada suara-suara skeptikal berpandangan jika dilaksanakan ia bakal bertindih dengan projek sedia ada seperti taska atau tabika.

Konsep

Dalam hal ini, Rosmah yang juga Pemangku Yang Dipertua Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-Isteri Menteri (Bakti) seterusnya menerangkan bahawa, konsep Permata ialah pendidikan bukan formal yang bertujuan mencetuskan daya kreativiti, imaginasi dan minat kanak-kanak dalam bidang tertentu.

‘‘Kalau mereka minat lukisan, kita tidak akan paksa mereka belajar menulis, jika kanak-kanak itu cenderung bermain air dan pasir, kita tidak akan mendesak mereka belajar. Itulah konsep kita.’’

Perlu diingatkan bahawa konsep pendidikan sedemikian telah dilaksanakan di beberapa buah negara dan terbukti kanak-kanak yang melalui pendidikan sedemikian mempunyai minda yang lebih tajam, berkembang lebih pantas dan mencatatkan pencapaian akademik lebih baik.

“Mereka juga lebih matang dari segi emosi malah tingkah laku mereka lebih mantap dibandingkan dengan kanak-kanak yang tidak melalui pendidikan awal seperti ini. Kajian telah membuktikan perkara ini,’’ ujar beliau.

Kabinet sebelum ini meluluskan peruntukan sebanyak RM20 juta bagi melaksanakan projek berkenaan dalam tempoh lima tahun.

Secara ringkasnya, lebih 700 kanak-kanak berumur sehingga enam tahun berpeluang menikmati projek terbabit.

Sebagai projek perintis, katanya, pihak pengurusan buat permulaan bekerjasama dengan kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan, Felda serta Felcra mengenal pasti empat kawasan yang boleh dijadikan pusat khas tersebut.

Ia terletak di Kepala Batas (Pulau Pinang); Mempaga (Pahang) dan Shah Alam (Selangor) selain Putrajaya yang akan memulakan projek tersebut pada Februari depan dengan 50 kanak-kanak bagi setiap pusat.

Pemilihan kawasan terbabit kerana ia mempunyai persekitaran hidup berbeza-beza seperti kawasan luar bandar, pinggir bandar, estet atau bandar.

‘‘Kami menjangkakan kesan projek itu dapat dilihat dalam masa tiga tahun.

‘‘Mengenai pemilihan Putrajaya, kawasan yang dipilih sangat menyeronokkan buat kanak-kanak di mana ia mempunyai air pancuran, luas dan ada pasir. Kanak-kanak sudah pasti akan menyukainya.’’

Mengulas mengenai tenaga pengajar pula, Rosmah berkata, ia bukan satu masalah kerana pihaknya telah mengenal pasti mereka yang memiliki diploma atau ijazah dalam bidang Pendidikan Jagaan Kanak-Kanak.

Pada masa ini, sesi temu duga telah selesai dijalankan sebelum mereka ditempatkan di Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) dan Universiti Malaya (UM) bagi tujuan latihan.

Mereka ini apabila terpilih sebagai fasilitator akan dibimbing dari semasa ke semasa oleh pakar-pakar dalam bidang psikologi dan pendidikan kanak-kanak.

Merintis usaha ke arah menyediakan konsep pendidikan awal yang sempurna diakui oleh Rosmah bukan suatu perkara mudah.

Justeru, Permata yang memilih ‘Setiap Anak Adalah Permata Negara’ sebagai tagline ini diharap dapat disokong oleh semua pihak yang turut sama menyedari betapa pentingnya konsep itu dilaksanakan.

‘‘Pada akhirnya ia penting dalam menggambarkan kesungguhan untuk membantu kerajaan dan agensi-agensi pelaksana dalam menyediakan satu dasar berhubung pendidikan awal kanak-kanak yang lebih fokus dan menyeluruh.’’

Selebihnya, Permata diharap dapat menjadi jambatan dalam mewujudkan satu mekanisme yang berupaya meningkat dan memperkukuhkan lagi program-program yang dijalankan oleh agensi-agensi pelaksana pada masa ini.

‘‘Seperti yang dikatakan, Permata ini bukannya pesaing program pendidikan kanak-kanak yang telah sedia ada, ia cuma satu alternatif membantu kerajaan ke arah menyediakan pendidikan sempurna untuk golongan kanak-kanak,’’ ujar Rosmah.

Permata ialah projek baru yang akan direalisasikan buat pertama kali pada Februari ini, bermula di Putrajaya. Bermakna tinggal kurang daripada tiga bulan lagi untuk diperlihatkan hasilnya.

‘‘Sebagai projek perintis, bukan sedikit beban untuk menjadikannya satu kenyataan. Tetapi, Permata tidak boleh gagal kerana masyarakat ingin sekali melihat hasilnya. Walaupun dalam tempoh yang singkat, pusat ini terbina bukan kerana ‘tangkap muat’. Mujur, pelbagai pihak membantu,’’ kata Rosmah.

Lima lokasi Pusat Permata Negara dikenal pasti

KUALA LUMPUR 22 Nov. – Lima lokasi dikenal pasti untuk dibangunkan dengan projek perintis Pusat Permata Negara, kata isteri Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Beliau berkata, lima lokasi bagi projek jagaan dan pendidikan awal kanak-kanak itu ialah di Subang Jaya, Putrajaya, Mempaga dan Chini (kedua-duanya di Pahang) serta di Kepala Batas, Pulau Pinang.

Menurut beliau, RM20 juta diperuntukkan bagi projek yang dijangka dimulakan di seluruh negara pada akhir tahun depan.

‘‘Bagaimanapun, projek di lima lokasi itu akan dimulakan pada Februari tahun depan dengan 50 kanak-kanak bagi setiap pusat,’’ katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Gala dan Penyampaian Anugerah kepada Pemegang Francais Tadika Krista di sini malam ini.

Menurut Rosmah, bagi menjayakan projek perintis itu, pelaksana Pusat Permata Negara akan bekerjasama dengan agensi-agensi seperti Felda, Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Putrajaya Corporation dan Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda).

Katanya, Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) telah diberi tanggungjawab untuk menyediakan modul pembelajaran dan teknik pengajaran serta kursus penjagaan kanak-kanak kepada bakal-bakal pengusaha dan pengasuh di pusat itu.

‘‘Diharap Pusat Permata Negara akan dapat menyediakan pembelajaran yang sebaik mungkin bagi mengatasi masalah ketidaksediaan pelajar ketika memasuki kelas prasekolah,’’ katanya.

Tuesday, November 21, 2006

Kepala Batas perintis projek Permata di utara

PULAU PINANG 20 Nov. – Kawasan Parlimen Kepala Batas dipilih sebagai perintis di kawasan utara semenanjung bagi projek jagaan dan pendidikan awal kanak-kanak (Permata) yang menonjolkan konsep ‘keseronokan pembelajaran’, mulai tahun depan.

Pemilihan kawasan Kepala Batas itu diumumkan sendiri isteri Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor yang juga Pengerusi Pelaksana Permata, ketika menutup persidangan Pendidikan Awal Kanak-kanak Peringkat Kebangsaan di sini hari ini.

Pemilihan Kepala Batas adalah tambahan bagi empat kawasan yang diumumkan sebelum ini iaitu Mempaga di Bentong, Pahang; Shah Alam di Selangor, Pasir Mas di Kelantan dan Putrajaya, dengan setiap pusat akan menempatkan 50 kanak-kanak berusia sehingga enam tahun.

‘‘Pemilihan kawasan terbabit berdasarkan persekitaran hidup yang berbeza-beza seperti kawasan luar bandar, pinggir bandar, estet atau bandar.

‘‘Kepala Batas dipilih untuk mewakili kawasan utara,” katanya kepada pemberita selepas menutup persidangan itu.

Pada 31 Oktober lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan keputusan Kabinet melulukskan peruntukan RM20 juta untuk melaksanakan Permata, konsep pendidikan bukan formal bertujuan mencetuskan daya kreativiti, imaginasi dan minat kanak-kanak dalam bidang tertentu.

Rosmah yang juga Pemangku Yang Dipertua Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-Isteri Menteri (Bakti) berkata, Permata diwujudkan bertujuan mencetuskan daya kreativiti, imaginasi dan emosi yang seimbang dikalangan kanak- kanak serta memupuk minda kelas pertama, berbeza dengan taska atau tadika.

Thursday, November 2, 2006

Permata bukan pesaing taska – Rosmah

SUBANG JAYA 1 Nov. – Projek jagaan dan pendidikan awal kanak-kanak (Permata) bukan pesaing kepada taman asuhan (taska) atau taman didikan kanak-kanak (tadika), kata isteri Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Menurutnya, pendekatan Permata adalah berlainan daripada yang diamalkan oleh taska atau tadika.

“Konsep kita ialah mementingkan pembelajaran yang menyeronokkan dan kita akan ajar mereka mengikut kecenderungan kanak-kanak terbabit,’’ katanya.

Mengenai tenaga pengajar, Rosmah berkata, pihaknya sedang mengenal pasti mereka yang memiliki diploma atau ijazah dalam bidang Pendidikan Jagaan Kanak-Kanak.

Rosmah yang juga Pemangku Yang Dipertua Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-Isteri Menteri (Bakti) berkata demikian kepada pemberita selepas meraikan 239 kanak-kanak dari 13 institusi kebajikan dari kawasan Lembah Klang dan Selangor sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri dan Deepavali di Holiday Villa di sini hari ini.

Pada majlis itu, selain menikmati pelbagai juadah, kanak-kanak tersebut turut menerima hamper bernilai RM55 setiap satu di samping dihiburkan dengan pelbagai persembahan dari The Golden Kids Club dan Temple of Fine Art.

Rosmah yang juga Pengerusi Pelaksana Permata diminta mengulas keputusan Kabinet meluluskan peruntukan RM20 juta bagi melaksanakan projek tersebut untuk tempoh lima tahun.

Menurutnya, lebih 700 kanak-kanak berumur sehingga enam tahun berpeluang menikmati projek itu.

Kata beliau, buat permulaan pihak pengurusan dengan kerjasama kerajaan negeri telah mengenal pasti empat kawasan yang akan dijadikan projek perintis pusat khas tersebut.

Katanya, empat kawasan itu ialah Mempaga di Bentong; Shah Alam; Pasir Mas dan Putrajaya yang akan memulakan projek tersebut pada Februari depan dengan 50 kanak-kanak bagi setiap pusat.

Menurutnya, pemilihan kawasan terbabit mempunyai persekitaran hidup berbeza-beza seperti kawasan luar bandar, pinggir bandar, estet atau bandar.

‘‘Kami menjangkakan kesan projek itu dapat dilihat dalam masa tiga tahun,’’ katanya.

Permata mampu atasi masalah pelajar prasekolah

Oleh HABIBAH OMAR

PUTRAJAYA 1 Nov. – Kementerian Pelajaran yakin pelaksanaan projek jagaan dan pendidikan awal kanak-kanak (Permata) yang akan dilaksanakan tahun depan mampu mengatasi masalah ketidaksediaan pelajar ketika memasuki kelas prasekolah.

Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, pelaksanaannya yang akan dimulakan di kawasan luar bandar, pinggir bandar dan estet, dapat membantu anak- anak miskin mendapat manfaat melalui pendidikan awal disediakan.

‘‘Secara langsung usaha ini dapat merapatkan jurang pendidikan yang sedia wujud antara golongan mampu dan tidak mampu sejak di peringkat awal lagi.

‘‘Kita sememangnya mengalu-alukan usaha seperti ini yang mampu menyediakan kanak-kanak dengan nilai-nilai murni, ilmu dan kemahiran tertentu sebelum melangkah ke alam prasekolah di bawah kelolaan kementerian,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Permata yang menonjolkan konsep ‘keseronokan pembelajaran’ akan mula dilaksanakan tahun depan dengan pembinaan pusat khas tersebut di setiap negeri.

Menurut Najib, konsep pendidikan bukan formal yang bertujuan mencetuskan daya kreativiti, imaginasi dan minat kanak-kanak dalam bidang tertentu itu diluluskan oleh Kabinet dengan peruntukan RM20 juta.

Hishammuddin berkata, pelaksanaan Permata merupakan langkah tepat dalam usaha merealisasikan hasrat misi nasional bagi membangunkan modal insan berkualiti untuk masa akan datang.

Permata juga, katanya, adalah persediaan berterusan untuk melangkah ke era negara maju menjelang 2020 dengan menjadikan pendidikan sebagai penggerak utama.

‘‘Telah terbukti bahawa pendidikan di usia yang awal seperti ditekankan oleh Permata mampu melahirkan kanak-kanak memiliki minda cergas dan mantap serta mudah menerima pelajaran,” katanya.