Thursday, November 12, 2009

233 Pusat Permata dibuka tahun depan

233 Pusat Permata dibuka tahun depan


KUALA LUMPUR: Program Permata yang mendapat peruntukan RM100 juta dalam Bajet 2010 akan memperluaskan lagi programnya ke 233 pusat jagaan kanak-kanak, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan, berkata perluasan program itu termasuklah melaksanakan program Permata Pintar, Permata Seni, Permata Insan dan Perkasa Remaja.

"Program itu yang setakat ini telah diperkenalkan di 457 pusat jagaan kanak-kanak telah mendidik 17,565 kanak-kanak," katanya semasa menjawab soalan Fong Po Kuan (DAP-Batu Gajah) yang ingin mengetahui pendekatan yang digunakan Pusat Anak Permata dan peruntukan yang telah diluluskan serta bilangan kanak-kanak yang berada di bawah program tersebut.

Ahmad berkata, bagi memastikan kejayaan program itu, tenaga pendidiknya disyaratkan berkelulusan diploma dalam bidang asuhan dan didikan awalan kanak-kanak atau yang berkaitan.

"Mereka juga perlu mengikuti Kursus Asas Pendidik Permata selama enam minggu manakala jumlah tenaga pendidik Permata berasaskan nisbah seorang pendidik untuk setiap lima orang anak.

"Nisbah ini adalah mengikut standard yang telah diterimapakai dalam pendidikan awal negara maju," katanya. - Bernama