Tuesday, November 10, 2009

RM100j untuk perkasakan Tabika Kemas

PUTRAJAYA 10 Nov. — Kerajaan memperuntukkan hampir RM100 juta bagi memperkasakan sistem pembelajaran dan kemudahan di semua Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) pada tahun depan.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, peruntukan di setiap negeri akan diberi mengikut keadaan di tempat berkenaan termasuk kemudahan asas yang sedia ada.

Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Konvokesyen Diploma Perguruan Malaysia Pendidikan Awal Kanak-kanak Tabika Kemas dan penyampaian watikah pelantikan Guru Taska Permata Kemas di sini hari ini, Shafie berkata, peruntukan itu melibatkan RM76 juta bagi program Bantuan Makanan Tambahan, multivitamin, bengkel keibubapaan dan promosi makanan sihat.

"Di peringkat asas ini, perlu kita lahirkan keadaan di mana anak kecil dapat makanan sihat. Ia bukan sahaja dapat membentuk tubuh badan, tetapi juga otak yang subur,” katanya.

Beliau berkata, sebanyak RM21 juta lagi akan digunakan untuk membeli pakaian, buku-buku, alat pengajaran dan pembelajaran serta lawatan pendidikan. - Bernama