|
|
KUALA LUMPUR 5 Nov. - Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor menyifatkan pembangunan modal insan sebagai penting kerana ia adalah teras kepada kejayaan sesebuah bangsa dan negara.
Untuk itu katanya, bagi melengkapkan proses pembangunan modal insan yang berpengetahuan, berakhlak, berkemahiran dan berdaya saing, ia perlu dilakukan berlandaskan ilmu dan pendidikan.
"Pendidikan adalah langkah terbaik ke arah mobiliti sosial yang dapat merubah nasib sesebuah keluarga.
"Ini bermakna, seorang anak pekebun, nelayan, petani, penoreh getah, peneroka mahupun buruh yang berpeluang belajar di institusi pengajian tinggi akhirnya akan berjaya menjadi seorang profesional," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyerahan cek bantuan pendidikan Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti) dan Pelancaran Taska UIAM Educare Permata di kampus Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak di sini, hari ini.
Hadir sama isteri Timbalan Perdana Menteri, Puan Sri Noorainee Abd. Rahman, Rektor UIAM, Prof. Datuk Seri Syed Arabi Idid serta beberapa isteri menteri Kabinet.
Dalam majlis itu, Rosmah turut menyerahkan dana sumbangan Bakti sebanyak RM10,000 kepada Rektor UIAM untuk diagihkan kepada 236 pelajar miskin di universiti berkenaan.
Dalam pada itu, Rosmah turut menasihati mahasiswa agar sentiasa komited dan tabah dalam menempuh segala cabaran.
"Apa yang akan membezakan kejayaan dan kegagalan adalah sikap dan kesungguhan untuk berusaha.
"Dengan itu, para pelajar harus menumpukan sepenuh perhatian kepada pelajaran dan nilai-nilai murni harus dijadikan sebagai budaya hidup," jelasnya.