KUALA LUMPUR, 5 Nov (Bernama) -- Program Permata memperuntukkan sejumlah RM663,345 kepada Taska Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Educare Permata untuk melaksanakan kurikulum program itu selain menaik taraf kemudahan pembelajarannya, kata isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif Dasar Permata Negara berkata tenaga pendidik taska itu juga akan diberikan latihan Kursus Asas Permata selama empat minggu di kedua-dua kampus UIAM di Petaling Jaya dan Gombak, supaya mereka dapat melaksanakan pemakaian kurikulum Permata Negara dengan lebih berkesan.
"Langkah itu juga bagi membuktikan komitmen kerajaan dalam menyediakan pengasuhan dan pendidikan awal kanak-kanak yang lebih berkualiti dan menyeluruh," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan Taska UIAM Educare Permata dan penyerahan cek bantuan pendidikan Badan Amal, Kebajikan dan Tenaga Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti) di kampus UIAM di Gombak hari Khamis.
Di bawah Program Permata, pusat-pusat Permata Negara akan ditubuhkan untuk kanak-kanak di bawah umur lima tahun yang menggunakan sukatan pelajaran terkini bagi membangunkan modal insan negara seawal usia kanak-kanak.
Pada majlis itu, Rosmah yang juga Yang Dipertua Bakti turut menyumbangkan cek bernilai RM10,000 kepada penuntut UIAM sebagai tanda prihatin badan amal itu terhadap keperluan golongan mahasiswa dan mahasiswi universiti itu.
Sebelum ini, Bakti pernah memberikan sumbangan serupa kepada penuntut Universiti Kebangsaan Malaysia.
Katanya sehingga Oktober tahun ini, Bakti telah menyalurkan sumbangan dermasiswa berjumlah RM1.17 juta menerusi Program Pendidikan badan amal itu untuk pelajar-pelajar miskin di bawah program Anak Angkat dan Program Dermasiswa.
--BERNAMA