Saturday, November 14, 2009

Rosmah temui 21 isteri pemimpin

SINGAPURA: Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor akan menggunakan kesempatan bertemu isteri ketua kerajaan 21 negara anggota Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec) 2009 bagi mendapatkan maklumat dan bertukar pandangan mengenai program Permata Negara (Permata).

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Dasar Permata Negara berkata, peluang mengiringi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak adalah kesempatan terbaik untuk terus memantapkan program itu.

Rosmah berkata, walaupun tiada sesi formal untuk isteri ketua kerajaan Apec bertukar pandangan atau maklumat mengenai sebarang isu, ia bukan halangan bagi mengadakan pertemuan tidak formal dengan mereka.

"Tuan rumah (Singapura) sudah mengatur beberapa program berbentuk lawatan seperti ke sekolah pada esok (hari ini) untuk semua isteri ketua kerajaan Apec dan ini, sudah pasti peluang terbaik bagi mendapatkan maklumat mengenai sistem pendidikan awal kanak-kanak di negara anggota Apec terutama sekali negara maju," katanya kepada wartawan Malaysia ketika ditemui di sini, semalam.

Beliau sebelum itu ditemu bual majalah Singapura, Lianche Zaoba berhubung kedudukannya sebagai isteri Perdana Menteri selain harapannya terhadap program Permata Negara.

Mengulas mengenai kemajuan Permata Negara, beliau yakin modul yang digunakan itu adalah yang terbaik untuk persekitaran kanak-kanak Malaysia bagi membolehkan mereka bersaing dengan generasi sama daripada negara maju.

"Saya juga amat gembira dengan komitmen kerajaan untuk memastikan pada masa depan, guru yang mengajar di Pusat Permata Negara sekurang-kurangnya mempunyai kelayakan peringkat diploma," katanya.