Oleh AZLINARIAH ABDULLAH (WARTAWAN UTUSAN)
HARI itu, hampir setahun yang lalu, dirinya amat terganggu dengan laporan berita mengenai kecurian, rompakan, penderaan seksual, pembunuhan dan beberapa jenayah lain.
Fikirannya tidak berhenti daripada berputar mencari-cari jika ada jalan penyelesaian kepada masalah-masalah itu.
Pada pandangan bekas pelajar jurusan sosiologi ini, semestinya masalah berkenaan berakar daripada didikan semasa usia kanak-kanak.
Kerana begitu ‘terganggu’, beliau tidak boleh berhenti memikirkan bahawa ada sesuatu yang tidak kena. Barangkali ada sesuatu yang hilang semasa dalam proses membesar.
‘‘Sesuatu perlu dilakukan dan saya kuat merasakan mahu membantu. Tetapi saya menyedari tidak boleh melakukannya sendirian walaupun ada tekad untuk menyelesaikan masalah tersebut.’’
Itulah yang membawa kepada tercetus idea pusat jagaan dan pendidikan awal kanak-kanak Permata seperti yang diceritakan oleh isteri Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor dalam satu interviu dengan Utusan Malaysia baru-baru ini.
Sebagai Pengerusi Pelaksana Permata, apabila idea itu datang, beliau tidak teragak-agak untuk melaksanakannya, satu kerana matlamatnya ialah mahu melahirkan modal insan terbaik kepada negara dan satu lagi kerana tidak mahu lagi ‘terganggu’ dengan laporan-laporan jenayah disiarkan hampir saban hari.
Profesional dalam pelbagai bidang, kepakaran dan latar belakang dicari untuk sama-sama mengumpul, mencari idea selain membantu merealisasikan hasrat murni berkenaan.
Kumpulan profesional 25 wanita, menurut Rosmah, bukan calang-calang orang dan mereka juga senada bahawa pembentukan insan akan menjadi lebih berkesan sekiranya dimulakan lebih awal lagi.
Dan Permata sendiri adalah konsep pendidikan untuk kanak-kanak berusia sehingga enam tahun.
Menurut Rosmah, Permata melihat kumpulan umur 0 - enam tahun sebagai satu kumpulan yang amat penting dan mereka mesti melalui satu proses perkembangan yang teratur.
‘‘Sebagai modal insan yang sangat bermakna kepada masa depan negara, perlu ada satu program atau perancangan yang teratur, fokus dan bersepadu daripada mereka mula lahir hingga memasuki alam persekolahan.
‘‘Mudah kata, ia perlu dirancang sebagai satu strategi nasional dan banyak negara lain di dunia ini sudah menjadikan pendidikan awal kanak- kanak sebagai satu pelan nasional yang bersepadu,” ujar Rosmah.
Menceritakan lebih lanjut, beliau berkali-kali menerangkan bahawa Permata bukan pesaing kepada taman asuhan (taska) atau taman didikan kanak-kanak (tadika) yang sedia wujud.
‘‘Pendekatan Permata adalah berlainan daripada yang diamalkan oleh taska atau tadika.
“Konsep kita ialah mementingkan pembelajaran yang menyeronokkan dan kita akan ajar mereka mengikut kecenderungan kanak-kanak terbabit,” katanya yang mengakui ada suara-suara skeptikal berpandangan jika dilaksanakan ia bakal bertindih dengan projek sedia ada seperti taska atau tabika.
Konsep
Dalam hal ini, Rosmah yang juga Pemangku Yang Dipertua Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-Isteri Menteri (Bakti) seterusnya menerangkan bahawa, konsep Permata ialah pendidikan bukan formal yang bertujuan mencetuskan daya kreativiti, imaginasi dan minat kanak-kanak dalam bidang tertentu.
‘‘Kalau mereka minat lukisan, kita tidak akan paksa mereka belajar menulis, jika kanak-kanak itu cenderung bermain air dan pasir, kita tidak akan mendesak mereka belajar. Itulah konsep kita.’’
Perlu diingatkan bahawa konsep pendidikan sedemikian telah dilaksanakan di beberapa buah negara dan terbukti kanak-kanak yang melalui pendidikan sedemikian mempunyai minda yang lebih tajam, berkembang lebih pantas dan mencatatkan pencapaian akademik lebih baik.
“Mereka juga lebih matang dari segi emosi malah tingkah laku mereka lebih mantap dibandingkan dengan kanak-kanak yang tidak melalui pendidikan awal seperti ini. Kajian telah membuktikan perkara ini,’’ ujar beliau.
Kabinet sebelum ini meluluskan peruntukan sebanyak RM20 juta bagi melaksanakan projek berkenaan dalam tempoh lima tahun.
Secara ringkasnya, lebih 700 kanak-kanak berumur sehingga enam tahun berpeluang menikmati projek terbabit.
Sebagai projek perintis, katanya, pihak pengurusan buat permulaan bekerjasama dengan kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan, Felda serta Felcra mengenal pasti empat kawasan yang boleh dijadikan pusat khas tersebut.
Ia terletak di Kepala Batas (Pulau Pinang); Mempaga (Pahang) dan Shah Alam (Selangor) selain Putrajaya yang akan memulakan projek tersebut pada Februari depan dengan 50 kanak-kanak bagi setiap pusat.
Pemilihan kawasan terbabit kerana ia mempunyai persekitaran hidup berbeza-beza seperti kawasan luar bandar, pinggir bandar, estet atau bandar.
‘‘Kami menjangkakan kesan projek itu dapat dilihat dalam masa tiga tahun.
‘‘Mengenai pemilihan Putrajaya, kawasan yang dipilih sangat menyeronokkan buat kanak-kanak di mana ia mempunyai air pancuran, luas dan ada pasir. Kanak-kanak sudah pasti akan menyukainya.’’
Mengulas mengenai tenaga pengajar pula, Rosmah berkata, ia bukan satu masalah kerana pihaknya telah mengenal pasti mereka yang memiliki diploma atau ijazah dalam bidang Pendidikan Jagaan Kanak-Kanak.
Pada masa ini, sesi temu duga telah selesai dijalankan sebelum mereka ditempatkan di Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) dan Universiti Malaya (UM) bagi tujuan latihan.
Mereka ini apabila terpilih sebagai fasilitator akan dibimbing dari semasa ke semasa oleh pakar-pakar dalam bidang psikologi dan pendidikan kanak-kanak.
Merintis usaha ke arah menyediakan konsep pendidikan awal yang sempurna diakui oleh Rosmah bukan suatu perkara mudah.
Justeru, Permata yang memilih ‘Setiap Anak Adalah Permata Negara’ sebagai tagline ini diharap dapat disokong oleh semua pihak yang turut sama menyedari betapa pentingnya konsep itu dilaksanakan.
‘‘Pada akhirnya ia penting dalam menggambarkan kesungguhan untuk membantu kerajaan dan agensi-agensi pelaksana dalam menyediakan satu dasar berhubung pendidikan awal kanak-kanak yang lebih fokus dan menyeluruh.’’
Selebihnya, Permata diharap dapat menjadi jambatan dalam mewujudkan satu mekanisme yang berupaya meningkat dan memperkukuhkan lagi program-program yang dijalankan oleh agensi-agensi pelaksana pada masa ini.
‘‘Seperti yang dikatakan, Permata ini bukannya pesaing program pendidikan kanak-kanak yang telah sedia ada, ia cuma satu alternatif membantu kerajaan ke arah menyediakan pendidikan sempurna untuk golongan kanak-kanak,’’ ujar Rosmah.
Permata ialah projek baru yang akan direalisasikan buat pertama kali pada Februari ini, bermula di Putrajaya. Bermakna tinggal kurang daripada tiga bulan lagi untuk diperlihatkan hasilnya.
‘‘Sebagai projek perintis, bukan sedikit beban untuk menjadikannya satu kenyataan. Tetapi, Permata tidak boleh gagal kerana masyarakat ingin sekali melihat hasilnya. Walaupun dalam tempoh yang singkat, pusat ini terbina bukan kerana ‘tangkap muat’. Mujur, pelbagai pihak membantu,’’ kata Rosmah.